Satu laporan dari majalah Auto Motor und Sport melaporkan bahawa bermula dari perlumbaan GP German di litar Hockenheim, semua bentuk komunikasi radio antara pelumba dan para engineer mereka serta team principal di pit wall akan dibenarkan untuk siaran kepada umum tanpa sebarang sekatan tetapi ianya akan dilewatkan dalam seminit. Tujuan melewatkan siaran komunikasi radio terbabit bukanlah untuk menyekat komunikasi membabit perbincangan strategi antara pelumba dengan mereka di pit wall tetapi lebih kepada untuk menapis perkataan kesat yang mungkin digunakan pelumba mahupun mereka di pit wall.
Dengan peraturan baru ini juga bermaksud kesemua pasukan mesti membenarkan segala bentuk komunikasi yang mereka lakukan semasa perlumbaan disiarkan kepada umum melalui siaran langsung di TV. Sebelum ini setiap pasukan dibenarkan untuk menapis sendiri mesej komunikasi radio yang disiarkan tetapi kini mereka tidak lagi dibenarkan berbuat demikian.
Bagaimanapun Ross Brawn dari MercedesGP berpendapat bahawa dengan membenarkan keseluruhan komunikasi disiarkan kepada umum; ada kemungkinan setiap pasukan akan menggunakan bahasa dalam bentuk kod jika mahu memberikan sesuatu strategi penting perlumbaan kepada pelumba di litar.
Pendekatan terbaru ini juga merangkumi komunikasi radio antara FIA dan kesemua pasukan semasa perlumbaan. Dengan ini juga segala bentuk komunikasi membabitkan FIA dan semua pasukan dalam menyampaikan bentuk penalty semasa perlumbaan akan dilakukan dalam tempoh masa 90 saat dan akan dipaparkan secara terus ke monitor setiap pasukan di pit wall.
No comments:
Post a Comment